Monday, November 22, 2010

AIDCNews - Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini akan memutuskan sama ada membenar atau tidak permohonan pihak pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan nota klinikal yang direkodkan oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) semasa pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan membuat keputusan tersebut hari ini setelah mendengar penghujahan daripada peguam utama Anwar, Karpal Singh dan pihak pendakwaan oleh Peguam Cara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden pada 29 Oktober lalu.
Permohonan itu dikemukakan setelah Mohd. Razali tetap bertegas enggan merujuk kepada nota-nota klinikal meskipun Karpal dengan segala kepakarannya dalam menyoal saksi cuba mempengaruhi Mohd. Razali untuk berbuat demikian.

Karpal berkata, gerak hatinya mengatakan bahawa menerusi nota klinikal itu mereka dapat membuktikan bahawa keterangan yang telah diberikan oleh Dr Razali di mahkamah bercanggah dengan apa yang ditulis dalam notanya.

Karpal juga mengatakan bahawa laporan kimia yang dibuat HKL tidak boleh diterima pakai oleh mahkamah kerana pendakwa enggan menyenaraikan laporan toksikologi ke atas Saiful sebagai sebahagian daripada bukti walaupun ia dilampirkan bersama laporan kimia berkenaan

Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden membantah hujahan tersebut dengan menyatakan, pihak pembelaan gagal membuktikan secara kukuh keperluan mereka untuk dibekalkan dengan nota-nota klinikal itu.

"Pada ketika ini, ia masih kes pendakwa dan kami berhak memilih bukti mana yang harus diserahkan. Lagipun Dr Razali tidak memohon untuk merujuk kepada notanya," kata Mohd Yusof.

Mohd Yusof memberi contoh kes pembunuhan di mana hanya laporan muktamad bedah-siasat dikemukakan kepada mahkamah dan bukannya nota yang dibuat ketika proses bedah-siasat itu.

Mohd Yusof berkata, peguambela tidak boleh bertindak hanya berdasarkan gerak hati sahaja, tetapi mereka mesti menunjukkan terdapat percanggahan di antara keterangan saksi dengan rumusan pemeriksaan ke atas pengadu.

"Setakat ini pihak pembela tidak menunjukkan sebarang kontradiksi atau wujudnya sesuatu keadaan luar biasa yang tidak boleh dijelaskan untuk mempertikaikan keterangan saksi (Dr Razali)."

Katanya, apa yang lebih penting ialah keterangan saksi itu dan bukan notanya.

Pada 27 Oktober lalu, mahkamah telah menolak permohonan Anwar untuk dibekalkan nota-nota klinikal, namun tertuduh masih berdegil dengan mendakwa Hakim Mohamad Zabidin terkeliru dengan permohonan asal mereka.

Sumber AIDC

0 comments: